Jumaat, 17 Februari 2017

Seminar Pemikiran Tokoh- Haron Din


KUALA LUMPUR: Perikatan Gabungan Badan-badan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) akan mengadakan Seminar Pemikiran Tokoh- Haron Din sempena mesyuarat agung tahunan ACCIN.

Timbalan Pengerusi ACCIN Ir Mohd Jamaludin Shamsudin pada sidang media semalam berkata Almarhum Tuan Guru Datuk Dr. Haron Din telah dipilih kerana beliau merupakan seorang tokoh ulama tersohor dan terkenal dengan pemikirannya yang memiliki pengikut yang ramai.

"Dalam konteks ACCIN, beliau menjadi pengasas dan ketua umum Darussyifa' yakni sebuah badan bukan kerajaan yang terkenal dalam perubatan Islam dan Darussyifa' ini ialah ahli gabungan ACCIN," katanya pada sidang media ACCIN di Bangunan Perkim.

Seminar yang akan diadakan pada 25 Februari ini bertempat di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengahari ini akan turut menampilkan beberapa tokoh yang mengenali beliau termasuk anaknya, Dr. Huda Haron Din.

Ujarnya, lima topik mengenai kepimpinan dan personaliti beliau akan dibincangkan iaitu topik TG Prof Datuk Dr. Haron Din di belakang tabir akan disampaikan oleh anaknya, manakala pemikiran Almarhum sebagai seorang tokoh akademik, rakan seperjuangan dan peranannya dalam Majlis Dakwah Negara akan disampaikan oleh Datuk Prof Mahmod Zuhdi.

"Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aiziz pula akan membicarakan pendirian politik Almarhum dan siasah syarie'. Kemudian ada juga ustaz Fitri Abdullah, seorang daripada Ahli Majlis ACCIN dan beliau dianggap sebagai anak angkat Almarhum beliau diislamkan oleh Tuan Guru Haron Din dan daripada beliau kita mengharapkan untuk memahami pendirian beliau tentang dakwah kepada bukan Islam.

"Dianggarkan 800 orang akan hadir di Dewan Muktamar Pusat Islam pada 25 Februari, Sabtu ini. Perasmian saya rasa Timbalan Perdana Menteri tidak boleh hadir dan mungkin kita akan dapatkan Ketua Pengarah Jakim untuk merasmikan dan menutup seminar tersebut, masuk adalah percuma dan semua dijemput hadir," katanya. – HARAKAHDAILY 16/2/2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan