Jumaat, 24 Februari 2017

Merawat SMK Agama

Assalamualaikum..

Pihak sekolah SMK Agama telah memohon Darussyifa' Sarawak untuk merawat bangunan mereka pada:

Tarikh : 26 Feb 2017 (Ahad)
Masa : 9.00 pagi

Tempat:
SMK Agama Matang

Memandangkan tempat yang hendak dirawat adalah besar, mohon perawat yang berkelapangan hadir seramai mungkin.

Sila berkumpul di markas pada jam 8.00 pagi atau boleh terus ke sana.

Sekian.

Jumaat, 17 Februari 2017

Seminar Pemikiran Tokoh- Haron Din


KUALA LUMPUR: Perikatan Gabungan Badan-badan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) akan mengadakan Seminar Pemikiran Tokoh- Haron Din sempena mesyuarat agung tahunan ACCIN.

Timbalan Pengerusi ACCIN Ir Mohd Jamaludin Shamsudin pada sidang media semalam berkata Almarhum Tuan Guru Datuk Dr. Haron Din telah dipilih kerana beliau merupakan seorang tokoh ulama tersohor dan terkenal dengan pemikirannya yang memiliki pengikut yang ramai.

"Dalam konteks ACCIN, beliau menjadi pengasas dan ketua umum Darussyifa' yakni sebuah badan bukan kerajaan yang terkenal dalam perubatan Islam dan Darussyifa' ini ialah ahli gabungan ACCIN," katanya pada sidang media ACCIN di Bangunan Perkim.

Seminar yang akan diadakan pada 25 Februari ini bertempat di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengahari ini akan turut menampilkan beberapa tokoh yang mengenali beliau termasuk anaknya, Dr. Huda Haron Din.

Ujarnya, lima topik mengenai kepimpinan dan personaliti beliau akan dibincangkan iaitu topik TG Prof Datuk Dr. Haron Din di belakang tabir akan disampaikan oleh anaknya, manakala pemikiran Almarhum sebagai seorang tokoh akademik, rakan seperjuangan dan peranannya dalam Majlis Dakwah Negara akan disampaikan oleh Datuk Prof Mahmod Zuhdi.

"Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aiziz pula akan membicarakan pendirian politik Almarhum dan siasah syarie'. Kemudian ada juga ustaz Fitri Abdullah, seorang daripada Ahli Majlis ACCIN dan beliau dianggap sebagai anak angkat Almarhum beliau diislamkan oleh Tuan Guru Haron Din dan daripada beliau kita mengharapkan untuk memahami pendirian beliau tentang dakwah kepada bukan Islam.

"Dianggarkan 800 orang akan hadir di Dewan Muktamar Pusat Islam pada 25 Februari, Sabtu ini. Perasmian saya rasa Timbalan Perdana Menteri tidak boleh hadir dan mungkin kita akan dapatkan Ketua Pengarah Jakim untuk merasmikan dan menutup seminar tersebut, masuk adalah percuma dan semua dijemput hadir," katanya. – HARAKAHDAILY 16/2/2017

Isnin, 13 Februari 2017

Bolehkah "scan" jin dalam badan?


BOLEHKAH "SCAN" JIN DALAM BADAN? BENARKAH PERAWAT BOLEH MENGETAHUI PERKARA GHAIB?

Setelah membaca beberapa ayat Quran (atau doa) dan pesakit tidak menunjukkan sebarang respon, ada perawat yang mengatakan perkara-perkara seperti :

“Hmm kuat jin di dalam badan kau ini”
“Ada 5 jin tinggal dalam badan kau”
“Rasanya kau sudah terlanggar jin semasa membuang sampah”
"Ini jin keturunan. Sudah lama dia tinggal di badan kau"
"Kau sudah disihir. Jin tu akan ganggu kau sampai kau mati".

Ada juga perawat yang mengubat dari jarak jauh yang hanya bersumberkan gambar pesakit atau nama pesakit berkata :

“Si anu itu telah disihir”
“Ada saka dalam badannya”
"Rumah kau ada jin"

Ada juga perawat yang hanya dengan melihat pesakit mengatakan:

“Ada jin sedang mengikuti kau”
“Aku dapat rasa kehadiran jin dalam badan kau”.
"Ada 2 jin di belakang kau dan 1 jin di lutut kau"
"Aku nampak ada bayang-bayang hitam ikut kau selalu"

Kaedah-kaedah di atas adalah melanggar hukum Syara’. Mereka yang mengamalkan kaedah-kaedah di atas boleh dikategorikan sebagai al-Kahin dan al-Arraf. Al-Kahin ialah orang yang memberitahu tentang perkara-perkara ghaib di masa hadapan atau memberitahu apa yang ada di dalam hati. Al-‘Arraf bermaksud orang yang mendakwa mengetahui perkara-perkara ghaib, atau dalam erti kata lain digelar tukang tilik. Perbuatan ‘Arraf ini dilarang oleh Allah SWT kerana tiada sesiapa pun yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah SWT sahaja. Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran :

“Katakanlah! Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah” (An-Naml : 65)

“Dan di sisiNya jualah kunci-kunci segala yang ghaib; tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja.” (Al-An’am : 59)

“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapa pun melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhaiNya.” (Al-Jin : 26-27)


Malah, Nabi Muhammad SAW pun tidak mengetahui perkara ghaib. Perkara ini dinyatakan dalam al-Quran :

“Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku yang mengumpulkan dengan banyaknya benda yag mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan” (Al-A’raaf : 188)

Nabi Muhammad SAW juga pernah terkena sihir namun baginda tidak mengetahuinya. Jibrail AS yang telah memberitahu baginda bahawa baginda telah disihir oleh Labid bin al-A’sam. Jika Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mengetahui perkara-perkara ghaib, (seperti sihir yang berlaku ke atas dirinya) bagaimana pula seorang manusia biasa boleh mengetahuinya?

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran di atas, adalah jelas bahawa dakwaan mengetahui tentang kewujudan jin dalam badan seseorang menggunakan kaedah-kaedah di atas adalah tidak benar. Malah, kita tidak sepatutnya menemui orang-orang yang mengamalkan kaedah-kaedah sebegitu. Menurut riwayat Muslim di dalam sahihnya bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :

 من أتى عرافا فسأله عن شيء فصدقه لم تقبل له صلاة اربعين يوما

Maksudnya : Sesiapa yang mendatangi seorang ‘arraf, dan bertanya tentang sesuatu, maka tidak diterima amalannya selama 40 hari.

Abu Daud r.a. meriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW :

من أتى كاهنا فصدقه بما يقول فقد كفر بما أنزل على محمد صلى الله عليه و سلم

Maksudnya : Barang siapa yang menemui tukang tenung kemudian membenarkan apa yang dikatakan maka sesungguhnya dia telah kufur terhadap wahyu yang diturunkan kepada Nabi SAW.

Menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya Pengertian Tauhid, membenarkan tukang-tukang tenung dan juru-juru ramal yang pada sangkaan mereka dapat mengetahui sesuatu yang ghaib, adalah satu kekotoran terhadap ayat-ayat al-Quran di atas. Sekiranya tindakan mereka yang pergi menemui golongan tesebut dan membenarkan pula dianggap suatu yang amat keji di dalam agama, tindakan para tukang tenung dan juru ramal itu adalah jauh dari agama dan agama pula jauh dari mereka :

ليس منا من تطير أو تطيرله او تكهن أو تكهن له او سحر او سحرله  : رواه البراز بأسناد جيد

Maksudnya : Bukan dari golongan kami sesiapa yang menganggap sial kerana alamat (tataiyur) atau minta dilihat kesialannya dan menenung atau minta ditenungkan atau mensihir atau minta disihirkan baginya.

Oleh itu, berhati-hatilah bila berjumpa dengan perawat-perawat yang menggunakan kaedah-kaedah di atas. Kadang-kadang, ada perawat yang menggunakan bahasa lunak dan halus untuk melindungi kedustaan mereka agar dapat meyakinkan pendengar. Contohnya : “Nampaknya penyakit encik ini bukan penyakit biasa. Encik terkena sihir. Inilah hasil penyiasatan kita. Sebab yang sebenarnya Allah sahaja yang tahu.”. Ada juga yang berselindung dengan kata-kata yang dapat menggambarkan bahawa apa yang diperkatakannya itu datang daripada Allah dan dia sentiasa berpegang teguh kepada kekuasaan dan kehendak Allah semata-mata. Misalnya: “Nampaknya, ikut penglihatan kita hajat encik ini sukar tercapai. Banyak sangat halangannya. Ramai orang tidak sukakan encik hidup senang. Tetapi kalau mahu berjaya kita boleh usahakan, insya Allah, akan Berjaya juga nanti.”

Ada juga perawat yang berkata bahawa kaedah mereka itu benar kerana ia hasil daripada kasyaf atau terbukanya hijab. Ini adalah tidak benar. Kasyaf memang boleh berlaku kepada orang mukmin yang hampir dengan Allah (wali Allah) tetapi kasyaf yang dikurniakan kepada orang tersebut adalah sebagai satu ujian dan rahsia antara dirinya dengan Allah. Hal ini disebabkan kasyaf merupakan sebahagian daripada karomah yang dikurniakan oleh Allah. Oleh yang demikian, kasyaf perlu dirahsiakan, tidak boleh diceritakan sewenang-wenangnya. Dalam kitab-kitab tasawur terdapat keterangan bahawa karomah mesti disembunyikan kerana ia merupakan satu ujian bagi orang yang menerimanya. Jika diceritakan atau dihebahkan, maka karomah itu akan menjadi hijab kepadanya. Berlainan dengan mukjizat yang berlaku kepada para Rasul adalah untuk ditunjukkan sebagai bukti kebenaran kerasulannya. Oleh itulah maka wali Allah yang sebenarnya amat takut dan cemas apabila dikurniakan karomah, apatah lagi untuk menghebahkan kekeramatan itu kepada orang ramai kerana takut akan dihijab oleh Allah. Wali Allah yang sebenar tidak begitu mudah menceritakan sesuatu rahsia ghaib yang telah dikurniakan Allah kepadanya, tetapi wali jin atau syaitan adalah sebaliknya, amat mudah menceritakan rahsia-rahsia ghaib seperti itu.

Kesimpulannya, janganlah mempercayai perawat (termasuklah pawang, bomoh atau orang biasa) yang mendakwa boleh mengetahui perkara ghaib.

[Rujukan : 1. “Menjawab Persoalan Makhluk Halus : Kaitannya Dengan Penyakit dan Pengubatan” oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din (2009), m.s. 168-171. 2. “Berpawang dan Bersahabat dengan Jin daripada perspektif Islam”, Jahid Sidek (2004), m.s. 82-87. 3. “Pengertian Tauhid”, Dr. Yusuf Al-Qardhawi (1999), m.s. 70-73.]

Rabu, 1 Februari 2017

Takziah dari kami


Kami Darussyifa' Sarawak menzahirkan rasa kesedihan di atas berita isteri kepada Us. Abdul Rahman Nawas iaitu Pn. Hjh Baridah bt. Md. Salleh yang telah kembali kerahmatullah sebentar tadi. Semoga ustaz dan keluarga tabah menghadapi pemergian orang yang tersayang.

Innalillahiwainnailaihirojiun

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون

"Allahummaghfirlaha warhamha wa 'afihi wa'fuanha".

Moga Allah ampuni dia, rahmati dia, maafkan dia, muliakan kematian dia, lapangkan kubur dia, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggal dia dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga dia di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman..

Al Fatihah khususon ila ruuhil..............

بِسْمِ  ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞امين